Monday, January 14, 2013

Pengalaman pertama...

Saat itu masih terlalu kuat dalam ingatan. Nephrotic Sydromme boleh dilihat simptomnya. Tetapi seperti sesetengah pesakit lain, mereka tidak sedar itulah simptom penyakit. Aku juga begitu. Pengalaman pertama ini masih kuat dalam ingatan mungkin kerana pengalaman ini memberikan impak yang begitu besar dalam kehidupan untuk tahun-tahun mendatang sehingga ke hari ini.

Detik itu adalah sebaik sahaja aku selesai menunaikan solat Asar. Waktu itu masih lagi seorang mahasiswa di Ibu Kota. Sebaik sahaja memberi salam seusai solat, aku ingin mengalihkan kedudukan kaki yang tentu sahaja dalam keadaan duduk tahyat akhir. Aku agak terkejut kerana sebaik sahaja  kulit kaki tertekan, kulit kaki tidak dalam keadaan normal. Lantas aku teringat keadaan arwah nenek yang ketika itu baru sahaja 2 bulan meninggalkan kami. Ya, begitulah keadaan kakinya ketika sakit. Ditambah pula dengan masalah tidak boleh berjalan beliau. Istilah yang biasa nenekku guna adalah "sembab".

Tetapi waktu itu, aku fikir tiada apa yang perlu dirisaukan. Entah kenapa aku boleh fikir macam itu pada waktu itu. Sehari kesehari keadaan badan aku "rasa lain macam". Selalu pening, keletihan yang melampau, apabila lapar, badan terasa menggigil dan sangat tidak tahan dengan suhu sejuk. Dalam dewan kuliah pada waktu itu memang ibarat duduk dalam peti ais. Walhal semua itu tidak ada masalah pun sebelum ini.

Aku lupakan seketika masalah itu buat sementara waktu. Nanti baiklah. Kata hatiku. Pada satu masa pula aku pulang ke kampung. Masalah kaki yang semakin bengkak tidak aku ceritakan pada keluarga. Berhibur bersama keluarga di restoran ikan bakar Umbai, Melaka. Boleh agak kan apa yang dinikmati. (hehe..)

Minggu berikutnya keadaan semakin teruk. Aku pergi ke Klinik Kesihatan Pelajar. Doktor buat pemeriksaan tekanan darah. Bacaan tinggi. Doktor sahkan young hypertension. Diberi ubat. Aku makan. Mungkin redha agaknya sebab dah dapat hypertension. Tetapi keadaan masih tak berubah. Malah bertambah teruk. Dewan kuliah semakin tak larat untuk kaki ini melangkah. Satu lagi perubahan fizikal telah berlaku. Perut semakin besar. Bertambah lagi kehairanan. Tidur malam semakin sukar. Keadaan urin tetap tak berubah. Buang air kecil bertambah kerap tetapi kuantiti bukan seperti normal. Urin tetap berbuih. Rasa selalu nak muntah. Ya Allah, semakin berat rasanya....

Insya Allah, entri akan datang mengenai pengalaman aku apabila telah timbul semua simptom ini tetapi sebelum dimasukkan wad. Sekian.

Sunday, August 26, 2012

Nephrotic Syndrome, yang diketahui...

Nephrotic Syndrome memang sejenis penyakit. Sejenis penyakit yang berkaitan dengan masalah fungsi buah pinggang atau ginjal. Ada beberapa simptom atau tanda-tanda yang boleh dialami oleh penghidapnya. Penyakit ini merupakan satu simptom yang menunjukkan kehadiran protein di dalam urin (air kencing), kandungan protein yang rendah di dalam darah, kandungan kolesterol yang tinggi, kandungan triglyceride yang tinggi dan anggota badan yang membengkak (swelling).








kehadiran protein di dalam urin dan badan membengkak
Apabila badan membengkak, perkara pertama yang akan terlintas dalam fikiran seseorang adalah masalah ginjal. Ini adalah biasa. Tapi aku tak pastilah kalau ada melibatkan masalah lain. Kemudian tanda lain yang boleh dilihat adalah urin yang dihasilkan berkeadaan berbuih yang sangat banyak. Seperti air sabun yang ditumpahkan ke atas lantai. Apabila keadaan ini terjadi, pasti doktor akan melakukan ujian untuk mengesan kehadiran protein di dalam urin.

Ya, inilah tujuan aku cuba mewujudkan blog ini. Menceritakan pengalaman menghidap nephrotic syndrome sejak tahun 2008. Aku akan cuba menulis kembali apa yang aku ingat dari apa yang aku alami. Dari apa yang aku alami itulah yang aku faham. Aku juga akan cuba nukilkan dari apa yang aku faham dari penerangan doktor tentang apa yang aku alami. Serta dari pengalaman pesakit lain yang aku jumpa. Hanya itulah yang aku mampu.

Assalamualaikum...


Entah kenapa tiba-tiba hati ini tergerak untuk menukilkannya. Tapi, macam biasalah. Takut hangat-hangat tahi ayam. Tidaklah aku mengetahui apa yang hendak dikongsikan akan memberi manfaat kepada orang lain. Tulisan yang sekadar picisan di alam maya. Namun bak prinsip yang diungkap oleh Ustaz Hasrizal, erti hidup pada memberi. Apa yang mampu kita berikan, berikanlah seikhlas mungkin. 

Tujuan diwujudkan memang hanya pada satu niat. Untuk berkongsi pengalaman dengan apa yang pernah dialami. Hari ini, Alhamdulillah keadaan semakin bertambah baik. Yang pasti, dengan izin-Nya jua.  Aku bermohon kepada Yang Maha Memberi Kekuatan, berikanlah diri ini kekuatan agar pengalaman ini dapat dikongsi. Hidup walau apa pun yang terjadi tidak boleh kecewa. Berjuang tetap berjuang apatah lagi perjuangan melawan penyakit. Kalau ada yang sedar tulisan ini di alam maya, ambillah mana yang baik dan campakkanlah jauh-jauh mana yang buruk…